Sunday, February 6, 2011

Engkau Calon Isteriku...

Assalamualaikum....

Sebelum meneruskan bicara ini, saya nak beritahu bahawa anak saudara saya yang ke-3, selamat dilahirkan pada hari rabu, 2 Februari lepas. Alhamdulillah =) walaupun tak berkesempatan melihat di hadapan mata sendiri, cukuplah dengan gambar2 yang dipostkan melalui facebook....

comelkan?

Melihatkan tajuk post kali ini yang agak 'panas' dan 'privacy' untuk dibaca, sengaja saya tulis untuk meluahkan perasaan dan pendapat saya tentang 'calon isteriku' yang rata-ratanya perihal yang tidak sewajarnya dikongsi, lebih-lebih lagi insan bergelar lelaki ini, yang terkenal dengan karekter egoistik dan pemendam perasaan, berbanding golongan hawa yang lebih cenderung untuk meluahkan perasaan mereka semahunya...

Bagi pembaca2 yang bergelar wanita, semestinya kata-kata ini ibarat suatu suntingan dari lelaki yang melamar untuk dijadikan isteri, dan alangkah indahnya kata-kata ini jika ia ditutur oleh insan yang dicintai dan disayanginya. Mereka akan terdiam, menunjukkan reaksi 'malu tapi mahu', sesuai dengan sifat mereka yang pemalu. Namun jika dituturkan oleh insan yang mereka benci, ataupun ringkasnya 'tidak berkenan', bagaimana hendak membalas kata-kata ini yang menjadi suatu bebanan bagi mereka. Ada yang straightforward reject, ada yang menggunakan kiasan(dengan harapan si penyunting faham), dan ada yang mendiamkan diri.

Bagi kaum Adam, seumur hidup tidak mengenal erti malu sekalipun, perkataan inilah yang paling segan untuk diucapkan. Lebih senang mengucapkan "I love u" or "saya sayang awak" berbanding "Sudikah engkau menjadi isteriku?". Kerana ucapan itu bukan sekadar kata-kata, tetapi hadir dengan kesudian si lelaki untuk memikul tanggungjawab berat sebagai pemimpin 4 golongan ; bakal isteri, anak, saudara perempuan dan ibu.

Mungkin bukan masanya untuk membicarakan hal ini, tetapi jika difikirkan, apa perkara2 besar yang akan anda alami dalam hidup? tentu jawapannya graduate dari universiti, karier pekerjaan dan perkahwinan. Oleh itu, isu pasangan hidup bukan suatu isu yang kecil, tambah ia melibatkan perasaan dan cabaran yang akan dihadapi seseorang sepanjang hidupnya.

Bagi mereka yang mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya, isu ini mungkin diketepikan untuk memberikan tumpuan fokus kepada pelajaran dan kerjaya. Saya ingat lagi kata-kata bapak, "Belajar tinggi-tinggi nanti lagi senang dapat pilih calon isteri". Ada kebenarannya itu. Saya sering diperingatkan jangan bercinta sewaktu belajar. Dan saya akui kebaikannya itu. Mungkin dari segi budaya kita masyarakat Melayu, sering hanyut akibat bercinta. Tidak seperti pasangan cina yang bercinta, semakin bagus pula pencapaian akademik (menurut kata-kata Sensei Kamiliah)

Namun sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari perasaan ingin menyayangi dan disayangi. Itu lumrah alam. Kadang-kadang ada terfikir juga perihal pasangan hidup ini. Cuma bagaimana kita mengawal perasaan itu, terpulanglah kepada kita. Ada yang memilih untuk bercinta, berpasangan dan sebagainya, ada yang menanti masa, dan ada yang memilih untuk hidup seorang. Bergantung kepada individulah, kerana masing-masing sudah dewasa, sudah boleh berfikir sendiri mana baik dan buruk dan membuat keputusan sendiri.

Bila disebutkan calon-calon pasangan, secara tidak langsung sudah terbayang mereka yang disukai dan diidamkan, ataupun bagi yang sedang bercinta, sudah semestinya pasangannya itu. Tetapi bagaimana ciri-ciri calon itu? Perkara ini ada disebutkan dalam hadis Rasulullah S.A.W. :


“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Bila ditanya apakah ciri-ciri pasangan idaman? Jawapan yang biasa didengar ; Beriman, soleh, solehah, kaya, cun, cantik, handsome, bekerjaya tinggi, romantik, penyayang dan sebagainya....tapi adakah pernahkah kita terbayang pasangan kita bukanlah seperti yang diidam-idamkan? Di situlah ujian yang kita perlu terima. Jodoh ditentukan Allah. Suka atau tidak itu sudah ditakdirkan. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui hikmah mengapa kita dijodohkan dengan pasangan.
 
Bila kita melihat sepasang couple sedang bercinta, ramai yang bertepuk tangan. Janji-janji, akan ku renang lautan api dan ku tawan puncak cintamu (zaman retro punya skrip) cukup indah tatkala diucapkan. Ayat-ayat cinta menghanyutkan mereka di dunia ciptaan mereka sendiri. Namun tidakkan ia lebih indah jika diucapkan setelah bergelar suami isteri melalui ikatan yang sah? Di saat mereka terikat dengan ikatan tanggungjawab yang diselubungi kasih sayang, bukankah ia lebih bermakna?
 
Di situlah kita dapat lihat, saya bukan tujukan kepada sesiapa, tetapi untuk renungan kita semua. Sepasang kekasih tanpa ikatan, tidakkah mereka cenderung untuk berpura-pura, menyembunyikan segala keburukan yang mereka ada, semuanya indah belaka. Tetapi selepas melangkah alam perkahwinan, semuanya pudar. Mana lelaki idaman aku dahulu? Hubungan suami isteri makin pudar, dek tidak mampu menerima kekurangan pasangan.
 
Bagi saya, saya tertarik dengan cara menikah secara taa'ruf, di mana pasangan berkenalan dalam sesuatu sesi perjumpaan antara dua keluarga seterusnya menikah, meskipun masing-masing tidak mengenali satu sama lain. Kerana setelah menikah, suami isteri baru mahu mengenali pasangan masing-masing dan secara tidak langsung, hubungan mereka semakin erat diiringi tanggungjawab yang dipikul. Oleh sebab itu, kita dapat lihat bagaimana nenek moyang kita berkahwin dengan cara itu dahulu, sedangkan mereka tidak kenal langsung siapa yang meminang mereka itu. Namun, hubungan mereka erat sehingga mencecah usia tua.
 
Namun, ada yang mengatakan cara itu tidak realistik untuk zaman moden. Kata mereka takkan orang yang tak kenal langsung kita hendak kahwin. Tetapi mana satu cara yang lebih baik? Fikirkan....
 
Saya percaya bercinta selepas berkahwin lebih indah dan bermakna. Kerana di saat diijabkabul, tiada lagi halangan untuk berdamping dengan pasangan. Si dia itu sudah menjadi millikku, semua sudah tahu. Tambah dengan berkat mengikut sunnah Rasulullah, pahala yang besar bagi mereka yang menikah. Disatukan mengikut syariat, sudah semestinya keberkatan mengiringi ikatan pernikahan.
 
Tetapi, adakah cukup dengan lafaz nikah? Tidak. Tujuan bernikah itu lebih utama. Mencari keredaan Allah. Alangkah bahagianya jika masing-masing bersatu atas tujuan yang satu, mencari keredaan Allah. Tatkala pagi, masing-masing saling ingat mengingati untuk menunaikan tanggungjawab solat subuh, kemudian bekerja mencari nafkah, menyara kehidupan keluarga, semuanya untuk mencari keredaan Allah. Masing-masing tahu kelemahan diri dan sentiasa menerima seadanya, bukannya itu kunci kebahagiaan?
 
 
Happy family...
 
Bagi saya, cukuplah bagi pasangan itu seorang yang beragama. Mampu memelihara maruah diri dan keluarga, serta rela setia bersama waktu senang atau susah. Sedia menerima kekurangan diri ini walaupun sukar untuk diterima. Diri ini bukannya sempurna, tetapi hamba yang sepenuhnya dimiliki Allah yang maha penyayang.
 
 
Ku berdoa hidup ini akan lebih bermakna denganmu, wahai si dia....(masih tidak diketahui)
 
Amin Ya Rabbal A'lamin.......
 

0 comments:

Post a Comment