Wednesday, August 6, 2014

Lepas...

Bismillah.....



Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah....

Dengan berakhirnya exam Mechanical Dynamics 30 Julai lepas, maka berakhirlah semester pertama tahun ketigaku.

Ya, semester penuh dugaan, lebih daripada sangkaan.

Tak pernah aku terperap dalam rumah seminggu semata-mata menyiapkan CAD design.

Tak pernah aku menghadapi situasi di mana semua benda terkumpul dalam seminggu ; report experiment (20 pages tulis tangan), nota system design (30-40 pages tulis tangan), exam 3 paper, & presentation. Serius kebetulan kena pada 10 hari terakhir ramadhan. Tidur biasa dari pukul 11 mlm sampai 2 pagi untuk bangun sahur, lepas subuh buat kerja sampai pukul 11 malam balik.

Tak pernah aku start study satu-satu subjek pada pagi exam. Semalas-malas manusia dia akan study malam sebelum exam, tapi aku start study pagi sebelum start exam. Haha, dahsyat bukan?

Bila kenangkan, Allahu Allah. Tak sangka dah berlalu semua itu. Bila dah habis semua macam tak percaya.

Malam Ahad 27 Julai lepas, malam terakhir Ramadhan, aku solat syukur sambil sebak bila kenangkan betapa besarnya nikmat lepas daripada "sengsara" kesibukan dan kesempitan masa. Tatkala saudara seakidah di Gaza dan merata dunia sedang bertarung nyawa dengan musuh Islam, aku berperang dengan ujian "kesempitan masa" dengan assignment yang bertimbun dan exam.

Perang sama perang. Jihad sama jihad. Menuntut ilmu itu juga satu jihad.

Teringatkan kakakku yang bercerita pengalaman housemanship tahun lepas. Solat terawih pun tak tentu. Ibadah sunat yang mungkin kita yang sibuk biasa-biasa ni mampu buat pun tak terlaksana. Perang dengan kesempitan masa juga.

****

Daripada ceritera di atas, mari kita sama-sama mentadabbur ayat Allah di bawah ;

"Wahai orang-orang beriman, Maukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?"

(Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui ;

Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung."

(As-Saff 61 : 10-12)

Ayat 11 menjelaskan suatu "perdagangan" yang ditawarkan Allah kepada hamba-hambaNya iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya, serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.

Kemudian ayat 12 menerangkan ganjaran atau tawaran terhebat daripada Allah hasil "perdagangan" tersebut berupa pengampunan dosa-dosa dan syurga yang tersergam indah.

Namun, ada ganjaran yang lebih besar daripada itu. Sebelum dijelaskan apa itu "perdagangan", Allah telah terlebih dahulu menawarkannya. Itulah dia "pelepasan daripada azab yang pedih" seperti yang diterangkan dalam ayat 11.

Saudaraku,

Cuba kenang kembali kesusahan yang pernah kita hadapi. Cuba kenang ujian yang paling sukar pernah dihadapi. Ketika itu, dada kita mungkin sesak, air mata berjujuran, mulut tak habis-habis ungkapkan "Ya Allah, tolonglah aku".

Kemudian masa berlalu dan perasaan itu hilang begitu saja tanpa disedari. Tak sedarkah kita Allah dah lepaskan kita daripada satu ujian kesusahan yang kita pun tak sangka kita mampu melepasinya. Sehinggakan kita pun terlupa doa yang kita pernah ucapkan pada Allah apabila tersempit dalam situasi tersebut.

Itulah nikmat "selamat" daripada sengsara. Berbalik kepada ayat 11 di atas, apa lagi nikmat yang lebih besar daripada pelepasan daripada sengsara api neraka Allah? Bagaimana perasaannya bila kita menghela nafas lega setelah lepas satu-satu ujian? Pada ketika itu, mulut kita tidak putus-putus mengucapkan syukur, sedangkan hati terkenangkan nikmat yang selama ini dipandang kecil dan remeh. Seperti nikmat masa lapang yang selalu dibazirkan begitu saja. Seperti seorang yang kehilangan kakinya setelah berpuluh tahun merasai nikmat berkaki.

Kerana itu Allah mendahulukan ganjaran "selamat dari azab yang pedih", kerana mengetahui betapa besarnya nikmat itu pada sisi manusia berbanding syurgaNya yang indah. Manusia apabila berterusan menerima nikmat biasanya tidak merasa apa-apa, tetapi sekali ditarik nikmat baru terlolong menjerit memintanya kembali.

*****

Saudaraku,

Setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita, hatta sekecil-kecil perkara sekalipun, pasti ada benda yang kita dapat pelajari. Apa yang kita lalui dalam sehari-hari pasti ada mesej tersirat yang Allah cuba sampaikan, tetapi hanya untuk orang-orang yang berfikir.

Oleh yang demikian, jangan biarkan hari-hari kita berlalu tanpa kita memikirkan sedikitpun tentang apa yang terjadi pada diri kita. Kita diberi mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, dan akal untuk berfikir, manfaatkan sebaik mungkin. Jangan sampai kita tergolong daripada manusia yang lebih teruk daripada haiwan ternak. Yang hanya fikir untuk makan, tidur dan membiak, sampaikan diasah pisau di hadapannya pun tak terfikir untuk lari dari disembelih.

Wallahu'alam.

#prayforgaza,syria
#peacenowar